Sedar
tidak sedar, sudah 3 tahun saya mengenali awak. Tak pernah saya terfikir
peristiwa memalukan saya terjatuh ke dalam longkang membuat hati kita bertaut.
Terima kasih kepada Allah kerana mentakdirkan saya terjatuh dan terima kasih
juga kerana Allah menggerakkan awak untuk mentertawakan saya. Jika tidak,
hubungan kita tidak mungkin sampai sejauh ini. Siapa pernah menyangka peristiwa
sekecil itu mampu mengikat hati dua insan. Walaupun saya dan awak masing-masing
berjauhan, teknologi benar-benar mengikat kita.
Saya
sedar, hari demi hari saya semakin menyenangi kehadiran awak dalam hidup saya. Saya bersyukur atas
hubungan ini. Bersyukur kerana kita bukanlah seperti pasangan kekasih lain.
Awak tidak pernah mengucap kata rindu, apatah lagi kata sayang. Seingat saya
sepanjang 3 tahun ini, tidak sampai 5 kali kita bersua muka. Itupun tatkala
awak dan keluarga datang beraya ke rumah saya. Saya juga bersyukur ibu bapa
kita saling meredhai persahabatan kita. Hari demi hari, kita semakin matang.
Saya semakin mengenali dunia, semakin mendalami ajaran Islam sebenar. Dulu,
saya fikir hubungan kita tidak salah. Ya, memang tidak salah dari pandangan
mata luar. Namun jujur jauh di sudut hati saya, saya sering merindui awak
biarpun tiada siapa antara kita yang pernah melafazkannya. Pernah saya angankan
awak menjadi pembimbing keluarga saya kelak. MasyaAllah, begitu jauh saya
lalai. Kata-kata seorang teman suatu waktu dulu benar-benar mendorong saya
berfikir panjang. “Zina hati sememangnya kelihatan kecil, namun dosanya tetap
sama”.
Astaghfirullah…saya beristighfar panjang.
Dengan segala kekuatan yang ada, saya katakan kepada awak. “Jangan hubungi saya
lagi melainkan awak bersedia mengahwini saya”. Saya sendiri tidak pasti dengan
apa yang saya lakukan. Saya sedar awak pasti kebingungan dengan kata-kata saya
kerana antara kita sememangnya tiada yang istimewa. Saya juga sedar hakikatnya,
awak juga punya perasaan terhadap saya biarpun awak mebisu seribu bahasa.
Hubungan kita terputus begitu sahaja. Enam bulan berlalu dengan amat sukar bagi
saya. Setiap hari saya berdoa semoga Allah permudahkan segala yang terbaik
untuk saya, semoga Allah permudahkan jika apa yang saya lakukan benar-benar
keranaNya. Ingin saya katakan, betapa sukar melupakan awak. Dalam kesibukan
saya melupakan awak, tiba-tiba saya dikejutkan dengan rombongan peminangan.
Andai awak dapat melihat hati saya, pastinya awak tahu betapa terkejutnya saya.
Ya, awak tunaikan permintaan saya. Awak datang lagi ke rumah saya, tapi kali
ini dengan sebentuk cincin. Sekarang saya sudah sah menjadi permaisuri hidup
awak. Sekarang saya bebas merindui awak tanpa rasa berdosa, saya bebas
berbicara dengan awak tanpa rasa bersalah dan saya bebas menyayangi awak kerana
awaklah pembimbing hidup saya. Terima kasih Allah ikatkan kita dengan tali
perkahwinan biarpun pada usia muda remaja.
Terima
kasih Allah menghadirkan
awak sekali lagi dalam hidup saya.
0 comments:
Post a Comment